Situs resmi Adiwarman A. Karim Mengupas Tentang Indeks Saham Kewangan Islam
YOU ARE HERE: Home

Mengupas Tentang Indeks Saham Kewangan Islam

E-mail Print PDF

Bahagian ketiga 'Kewangan Islam - Bersediakah kita?' mengupas tentang indeks saham kewangan Islam yang bakal dilancarkan.

November depan sebuah indeks saham kewangan Islam pertama bakal dilancarkan. Ia dilihat sebagai satu isyarat positif yang mempunyai potensi untuk terus merangsang kemajuan sektor kewangan dan perbankan Islam di Singapura. Setakat mana indeks tersebut dapat dijayakan? Dikupas tuntas dalam siri khas ‘Kewangan Islam – Bersediakan kita?

 

“Singapur Islamic financial indeks ini adalah sebetulnya sebuah indeks yang kita ambil dari saham-saham yang diperjual-belikan di SGX, di bursa saham Singapur. Dari saham-saham yang diperjual-belikan di bursa Singapur itu, kita screening, kita pilih yang sesuai dengan Syariah, dan mana yang tidak sesuai dengan Syariah. Mana-mana yang sesuai dengan Syariah, dan kita lihat market capitalisasinya besar, ini akan kita masukan kedalam Singapur Islamic indeks.”

Adiwarman Karim, pengarah presiden Karim Business Consulting menerangkan tentang bagaimana indeks saham halal yang pertama di Singapura dapat direalisasikan. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama Karim Business Consulting, yang berpangkalan di Indonesia dengan Young Entrepreneurs Network Organisation (YEN Org). Indeks tersebut yang dinamakan Lion 30 Index bakal berfungsi sebagai satu tanda aras kepada sekurang-kurangnya 33 daripada 68 saham yang disenaraikan di bursa saham Singapura (SGX). Antara saham-saham yang telahpun dikenalpasti, dan akan disertakan dalam Lion 30 Index ialah beberapa saham dari syarikat-syarikat besar seperti Singapore Airlines Ltd, Keppel Corporation Ltd, Capital Mall Trust Ltd, Creative Technology Ltd dan Singapore Telecommunications Ltd. Sebelum disenaraikan dalam indeks saham Islam itu, syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses penyaringan tiga peringkat. Penyaringan dalam segi modal pasaran, aktiviti niaga utama dan nisbah kewangan. Menurut Iqbal Khan, ketua pegawai eksekutif HSBC Amanah proses saringan saham-saham yang memenuhi syarat-syarat Syariah adalah mudah, tetapi cabaran utamanya ialah bagaimana untuk memasarkan indeks tersebut :

“Memasarkan indeks itu yang menjadi cabaran besar. Bagaimana untuk menarik para pelabur datang dan melabur dalam indeks tersebut. Dalam hal ini, kami harapkan pemerintah Singapura akan membuat perubahan dalam segi undang-undang untuk memudahkan perniagaan bersama Singapura. Saya fikir Singapura dibina di atas prinsip mudah untuk melakukan bisnis. Jadi, ini-lah yang kami harapkan Singapura akan memudahkan pengendalian niaga industri kewangan Islam juga.”

Iqbal Khan, ketua pegawai eksekutif HSBC Amanah yang berpangkalan di Dubai. Usaha untuk mengadakan indeks saham Islam ini turut dialu-alukan oleh Nailul Hafiz Abdul Rahim, ketua pegawai eksekutif syarikat pakar runding Idea Capital. Pada masa yang sama, beliau berharap bahawa ia juga dapat dikekalkan buat jangka masa panjang :

“Mungkin model businessnya supaya proses ataupun sistem ini dapat terus berpanjangan perlu-lah diperhatikan, kerana akhirnya apapun yang kita usahakan motivasinya yang penting adalah bagi orang Islam adalah motivasi Islamnya, sentimen untuk mendapatkan pelaburan yang halal serta baik. Tetapi, pada keseluruhan dunia, setiap satu usaha khususnya dalam bidang perniagaan perlu memberi satu pulangan yang membolehkan ia sustainable pada jangka masa yang panjang. Jadi, usaha apapun yang kita lakukan, saya rasa perlu-lah, khususnya dalam bidang niaga ini, mempunyai teras yang kuat dalam aspek perniagaannya, business modelnya dan sebagainya.”

Nailul Hafiz Abdul Rahim, ketua pegawai eksekutif Idea Capital yang pernah cuba memulakan usaha saham Islam yang serupa beberapa tahun lalu. Indeks Lion 30 akan dikendalikan oleh Karim Business Consulting yang juga sudah mempunyai pengalaman dalam menguruskan Indeks Islam Jakarta, di Indonesia. Adiwarman Karim, pengarah presidennya yakin bahawa dengan pengalaman, kepakaran dan sumber tenaga yang dibawa bersama, indeks saham Islam di Singapura juga dapat dijayakan. Bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama dengan pihak yang menyediakan indeks saham adalah kritikal :

“Untuk di Singapur, kita butuh kerjasama dengan SGX, kerana indeks ini harus dipublish. Kalau ngomong tentang internasional, maka kita perlu kerjasama dengan international indeks provider seperti Bloomberg, seperti Reuters. Tanpa kita kerjasama dengan mereka, itu sama juga kalau di newspaper, bapak punya good jurnalis tapi tak ada newspaper, jadi orang nak bisa baca! Begitu juga dengan indeks ini. Walaupun kita punya indeks yang bagus, yang stable, yang outperform, tapi kalau indeks ini tidak dipublish orang tak tahu.”

Adiwarman Karim dari Karim Business Consulting.

Indeks saham Islam Singapura, Lion-30 akan mendapat keluluskan dari Lembaga Syariah Antarabangsa bagi Pembangunan Ekonomi atau ISBED yang juga baru ditubuhkan. Lembaga tersebut juga akan turut mengawasi aktiviti dan pergerakan indeks itu. Siapakah anggota ISBED, dan apakah peranan lebih luas mereka? Selanjutnya dalam siri khas kami esok ‘Kewangan Islam – Bersediakah kita?’

Saya Saifulbahri Ismail dari Radio Singapura Internasional bagi hal ehwal semasa Radio MediaCorp, mengucapkan salam hormat.

Ogos 31, 2005

Mengupas Tentang Indeks Saham Kewangan Islam